Jika anda jemu dengan cuaca panas dan kesesakan ibu kota, larilah sebentar ke Cameron Highlands, destinasi nyaman yang terkenal dengan udara sejuknya yang dingin dan pemandangan yang menakjubkan.
Tambahan pula terdapat banyak tempat menarik di Cameron Highland, menjadikan ia destinasi sasaran popular pelancong tempatan dan antarabangsa. Jika anda sedang merancang percutian ke Cameron Highland, dibawah saya telah himpunkan tempat yang paling menarik untuk anda lawati semasa berada disini nanti.
Ladang Teh BOH Sungai Palas
Hampir setiap hari menikmati teh BOH semasa di rumah, tapi masih tak tahu lagi bagaimana keadaan ladangnya? Dan teringin nak tahu bagaimana teh yang diminum setiap hari ini dihasilkan? Datanglah ke Ladang Teh BOH yang terletak di Sungai Palas ini.
Aktiviti yang boleh dilakukan sepanjang berada di ladang teh ini di samping melihat bagaimana teh diproses di kilang adalah melawat kafenya untuk menikmati pelbagai hidangan yang terdiri daripada teh dan aneka pencuci mulut yang menyelerakan.
Sebelum pulang, anda boleh membeli pelbagai produk teh BOH yang telah dihasilkan segar dari ladang untuk dijadikan buah tangan.
Namun begitu, pengalaman yang paling sukar dilupakan adalah peluang untuk menikmati pemandangan yang disajikan di depan mata ladang teh BOH yang seluas pandangan mata dan penuh dengan kehijauan.
YZ Agro Farm (Kebun Strawberry & Kafe)
Tercari-cari ladang yang diusahakan orang muslim? Ini adalah salah satu daripadanya, YZ Agro Farm yang terletak di Tanah Rata.
Setibanya di sini, anda boleh memetik buah strawberi sendiri sebelum turun ke kafe untuk menikmati pelbagai jenis masakan yang ada seperti patin masak tempoyak, mee kari, nasi lemak dan banyak lagi nasi campur lain yang enaknya bukan main. Jangan lupa untuk mencuba pencuci mulutnya juga seperti scone, aiskrim, waffle dan banyak lagi.
Apa yang wajib dicuba? Strawberry smoothie dan strawberry shakenya yang dihasilkan segar menggunakan buah strawberi daripada ladangnya sendiri.
Ladang Teh Bharat (Cameron Valley House Tea 1 & Cameron Valley House Tea 2)
Cameron Valley House Tea 1 dan Cameron Valley House Tea 2 adalah 2 daripada 3 buah rumah teh yang diusahakan oleh Ladang Teh Bharat. Kedudukan kedua-duanya hanyalah bersebelahan antara satu sama lain.
Rumah teh yang pertama iaitu Cameron Valley House Tea 1 adalah sedikit kecil berbanding sebuah lagi dan terletak di sepanjang Jalan Besar antara Habu dan Tanah Rata.
Disebabkan laluan yang agak sempit, anda perlu berjalan kaki beberapa anak tangga untuk sampai. Di sini terdapat sebuah kedai teh dan juga rumah teh di mana anda dapat menghilangkan lapar sambil menyaksikan pemandnagan indah kawasan ladang.
Berjarak hanyalah 700 meter dari satu sama lain, rumah teh yang seterusnya iaitu Cameron Valley House Tea 2 adalah yang terbesar daripada 3 buah rumah teh yang diusahakan Bharat Group.
Untuk menuju ke sini anda hanya perlu berjalan kaki atau boleh meletakkan kereta di kawasan parking luas yang disediakan. Seperti mana di House Tea 1, Cameron Valley House Tea 2, turut menempatkan kedai teh dan juga tea house di mana anda boleh menjamu selera sambil menikmati pemandangan ladang teh.
Cameron Valley Tea House Kuala Terla
Cameron Valley Tea House Kuala Terla adalah salah satu daripada 3 buah rumah teh di bawah Bharat Group.
Terletak di Kuala Terla, iaitu di bahagian utara Cameron Highlands, Cameron Valley Tea House Kuala Terla adalah rumah teh yang paling kurang dilawati jika dibandingkan dengan yang lain memandangkan lokasinya yang terletak agak jauh.
Sekiranya anda berpeluang ke sini, bolehlah singgah menikmati makanan di kafenya yang menghidangkan menu seperti puff, sup cendawan, aiskrim, kek dan pelbagai lagi pencuci mulut lain.
Lokasinya hanyalah bersebelahan dengan Cameron Adventurous. Cukup sesuai untuk anda singgahi sama ada sebelum melakukan aktiviti lasak di sana atau selepas kelaparan beraktiviti.
Cactus Point
Selain teh dan buah strawberi, tanaman lain yang agak popular di Cameron Highlands dan sering menjadi buah tangan sesiapa yang pernah datang bercuti ke sini adalah pokok kaktus. Salah satu lokasi di mana anda dapat melihat dan membeli bermacam gaya pokok kaktus adalah di Cactus Point.
Tarikan yang berlanskap indah ini adalah salah satu lokasi yang wajib disinggahi terutama sekali kerana kemasukannya juga percuma. Tempat meletak kereta yang disediakan juga cukup luas, jadi tak perlulah risau kalau anda datang pada musim cuti sekolah sekali pun.
Bukan sekadar kaktus, sebaik memasuki Cactus Point, anda akan terlihat pelbagai jenis tanaman bunga yang terletak di sebelah kiri, di sebelah kanan pula terdapat tanaman buah strawberi. Pokok kaktus pula boleh dilihat terletak di tengah-tengah kebun ini.
Pasar Kea Farm
Sudah puas makan angin di Cameron Highlands? Kalau masih banyak ruang kosong dalam kereta anda tu, jangan balik dulu! Mai singgah ke Pasar Kea Farm.
Terletak hanyalah dalam sekitar 2 ke 3 km dari Brinchang dan Tringkap, di sini anda boleh melihat pelbagai pilihan sayuran dan buah-buahan segar seperti buah strawberi, oren, jagung mutiara, sayur kobis, produk jem, teh dalam aneka perisa dan bermacam-macam lagi yang diniagakan oleh kebanyakannya para pekebun dan petani sendiri.
Tidak jauh dari sini, anda boleh berjalan kaki untuk ke ladang lebah dan juga taman rama-rama.
Rose & Orchid Garden
Setibanya di Rose & Orchid Garden, anda akan disambut oleh dekorasi bunga yang cukup menarik mata dan seorang jurugambar yang sentiasa bersedia untuk mangambil foto anda dengan berlatar belakangkan dekorasi ini.
Di ruangan yang seterusnya, anda dapat melihat pelbagai jenis burung termasuklah burung turki di dalam sangkar yang ada. Di dalam taman ini turut terdapat ladang sayuran, pokok bunga raya serta laluan pendek yang lengkap dengan pondok buluh.
Sebagai kebun bunga, sudah semestinya terdapat pelbagai jenis bunga beraneka warna yang sangat menyejukkan mata di samping dapat menikmati aroma yang cukup menyegarkan.
Sebelum pulang, anda boleh singgah ke kedai yang menjual pelbagai jenis tanaman atau ke restorannya untuk menghilangkan bunyi perut yang kelaparan.
Arked Peladang Cameron Highlands
Hanyalah 500 meter dari Pekan Brinchang, Arked Peladang Cameron Highlands (Farmers Arcade) adalah lokasi tarikan di mana anda boleh membeli pelbagai tanaman bunga serta pokok kaktus untuk dijadikan hiasan di rumah.
Antara pokok bunga yang boleh didapati di sini adalah bunga matahari, bunga raya, bunga lavender dan lain-lain lagi. Dengan kedudukan pokok bunga yang bercampuran antara satu sama lain, campuran aroma bunga mekar yang menyapa deria bau melahirkan suasana yang sungguh menyegarkan. Ingin menikmati aroma yang sama sepanjang perjalanan pulang menaiki kereta? Belilah sebanyak mungkin jenis bunga yang ada ya?
Kedudukannya yang terletak sederet dengan pelbagai kedai lain memudahkan anda untuk mencari pelbagai lagi cenderahati serta produk yang sinonim dengan Cameron Highlands.
Taman Rama-Rama Kea Farm
Taman Rama–Rama Kea Farm adalah salah satu destinasi popular di Cameron yang bertapak di Kea Farm, Brinchang. Kalau anda ingin belajar sedikit tentang kehidupan semulajadi rama-rama atau melihat spesis rama-rama beraneka jenis.
Di taman yang tertutup ini rama-rama terbang secara bebas dan jangan terkejut jika ada yang hinggap di baju anda semasa anda berada di sana nanti.
Selain dari rama-rama anda juga dapat menyaksikan gelagat haiwan liar lain seperti ular, biawak dan serangga yang menakjubkan.
MARDI Agrotechnology Park
Mardi Agrotechnology Park Tanah Rata merupakan salah satu tarikan utama di Cameron Highland yang berjaya menarik sebanyak 100,000 pengunjung setiap tahun dan merupakan pusat penyelidikan MARDI yang tertua di Malaysia.
Di sini terdapat 40 jenis bunga rose berlainan, 10 jenis strawberry, dan pelbagai pokok buah-buahan yang beraneka jenis.
Agrotechnology park terbahagi kepada 6 bahagian utama iaitu Rose Garden, Herb Garden, Orchid Garden, English Garden, Research Centre and kedai cenderamata.
Cactus Valley
Bukan selalu kita dapat melihat sebuah taman penuh dengan pokok kaktus betul? tapi di Cactus Valley anda dapat berjalan di taman yang dihias penuh dengan beraneka jenis pokok kaktus.
Jika anda berada di pekan Brinchang anda hanya perlu berjalan kaki sahaja untuk sampai ke Cactus Valley. Selain daripada melihat pokok kaktus, jika anda berminat, anda juga boleh membeli satu pokok kaktus untuk dibawa pulang sebagai kenangan.
Lata Iskandar
Dalam perjalanan ke Cameron Highland, 25 kilometer sebelum sampai ke pekan Ringlet, terdapat sebuah air terjun bernama Lata Iskandar.
Air terjun ini mempunyai ketinggian 25 meter dan amat sesuai untuk mereka yang mencari tempat untuk menyejukkan badan pada hari yang panas.
Pada hari cuti sekolah atau hujung minggu tempat ini dibanjiri dengan pelancong yang datang untuk menikmati keindahan air terjun tersebut.
Pasar Malam Pekan Brinchang
Pasar Malam Cameron yang sebelum ini berlokasi di Pekan Brinchang telah dialihkan lokasinya ke Sungai Ruil dan tidak jauh dari Cameron Golden Hills Resort.
Untuk datang ke sini, waktu yang disarankan adalah seawal yang boleh untuk mengelakkan masalah ketika mencari tempat meletak kenderaan atau lebih mudah, anda menginap sahaja di hotel berdekatan dengan pasar.
Apa yang ada di pasar malam ni sampai membuatkan ianya salah satu lokasi hotspot di Cameron? Bukanlah seperti pasar malam biasa, di sini, anda dapat menemui pelbagai hasil jualan yang fresh dari ladang seperti buah strawberi, bermacam jenis sayuran yang segar, serbuk teh, pokok-pokok hiasan dan pelbagai lagi cenderahati yang lain.
Notis: Lokasi ini telah bertukar nama ke Pasar Malam Golden Hills Cameron Highlands.
Lavender Garden
Lavender Garden merupakan salah satu tarikan baru di Cameron Highland dan sesuai dengan namanya, ia adalah Kebun Bunga Lavendar yang pertama dibuka kepada khalayak ramai.
Walaupun kawasanya tidak besar apabila dibandingkan dengan tarikan lain di Cameron Highland, tetapi ia sungguh berbaloi untuk mereka yang suka bergambar.
Selain daripada melihat bunga anda juga bepeluang untuk menikmati Ice Cream perisa lavender.
Fragrance Nursery
Fragrance Nursery merupakan destinasi yang sesuai untuk penggemar bunga sejati. Mereka sudah lama menjadi bembekal tumbuhan pasu terkenal di Cameron Highland yang telah beroperasi selama 25 tahun.
Antara bunga yang dipamerkan disini adalah Lavender, Rosemary, Orkid, Ros, Kekwa dan 100 jenis tumbuhan flora yang lain. Baru-baru ini mereka juga telah mula menanam anggur.
Air Terjun Robinson
Jika anda lebih cenderung kepada aktiviti luaran dan ingin melihat keindahan alam yang ditawarkan oleh Cameron Highland singgah sebentar di air terjun Robinson.
Air Terjun Robinson merupakan satu daripada tiga air terjun popular di Cameron Highland. Untuk ke air terjun ini anda perlu berjalan sebentar di dalam hutan, bagus jika anda penggemar aktiviti jungle trekking.
Rose Centre
Rose Centre Kea Farm terletak 3.5km dari pekan Brinchang. Tempat ini dihias dengan bunga ros yang beraneka jenis. Selain daripada bunga ros, pengunjung juga dapat membeli bunga pasu dan pokok kaktus.
Big Red Strawberry Farm
Mengidam makan Strawberry segar baru sahaja dipetik? di Big Red Strawberry Farm anda dapat merasa nikmat makan Strawberry segar.
Kebanyakkan stawberry yang dijumpai di Malaysia datang dari Cameron Highland dan di sini anda dapat melihat bagaimana process menjaga pokok strawberry. Dengan bayaran yang kecil anda juga dapat memetik strawberry anda sendiri.
Selain dari strawberry, di sini juga terdapat Café, kedai cenderamata dan kedai sayur organik segar.
Avant Chocolate Cameron Highlands
Suka makan yang manis-manis? Ini adalah syurga untuk deria rasa anda. Dengar namanya, Avant Chocolate, mesti anda ingat ianya hanyalah sebuah kafe kan?
Sebenarnya Avant Chocolate ini menawarkan 2 tarikan yang best, iaitu seperti yang disangka tempat menjamu selera Strawberry Moment Dessert Cafe dan tempat menikmati pemandangan yang mengujakan, Green Garden View.
Sebaik sampai di sini, anda boleh menikmati pemandangan alam flora di sekitar yang termasuklah tanaman buah strawberi sambil menarik nafas segar udara yang bersih. Tarikan lain yang ada di sini adalah laluan Make A Wish dan House of Lavender. Ini pasti menjadi satu kerinduan sebaik pulang ke kota nanti.
Setelah puas menyegarkan mata, anda boleh menuju ke kafenya untuk menikmati pelbagai makanan yang berasaskan coklat, strawberi dan juga ais-krim, semuanya mengiurkan! Antara makanan yang dihidangkan adalah strawberry puff dan kek ais krim strawberry.
200 Seeds Café
Tak kenyang lagi makan di Avant Chocolate? Anda boleh meneruskan misi jalan-jalan cari makan di Cameron Highlands dengan melawat 200 Seeds Café.
Macam-macam menu yang tersedia dekat sini, dan seperti biasa, kalau lokasi kafenya dekat Cameron Highlands, sudah semestinya banyak menu yang disediakan memiliki ‘elemen’ strawberi. Selain menu makanan yang boleh terus dimakan di kedai, 200 Seeds Café turut menjual banyak lagi produk berasaskan strawberi yang lain yang boleh anda beli untuk dijadikan buah tangan.
Kalau anda nak tahu, 200 Seeds Café agak terkenal dengan produk-produk seperti Sambal Strawberry Ikan Masin, Kordial Strawberry dan Jem Strawberry. Untuk makanan yang boleh terus dinikmati di sini pula adalah menu nasi lemak sambal strawberrynya. Memang pergh!
Kalau boleh, anda datanglah ke sini selain daripada hujung minggu atau hari cuti sekolah atau cuti umum untuk mengelakkan kesesakan orang ramai, sebab kedai ni memang hot!
KC Kwang & Sons Grape Farm
KC Kwang & Sons adalah sebuah ladang tomato dan anggur yang terletak di Kampung Raja. Berkeluasan 60 hektar, penghasilan buah anggur dan tomato yang terdapat di sini cukup banyak sehinggakan sebahagiannya dieksportkan ke luar negara.
Untuk pengetahuan anda, buah anggur yang ditanam di sini adalah daripada jenis ‘Kyoho’ yang merupakan jenis anggur yang besar dan manis. Kalau anda nak makan buah anggur puas-puas, datanglah pada ketika musim menuai tiba iaitu pada bulan Jun dan Disember setiap tahun. Rancang perjalanan anda betul-betul ya?
Selain melihat kawasan ladang, anda sekeluarga juga boleh meneroka kawasan kilang ladang ini sendiri untuk melihat bagaimana hasil tuaian diproses dan dipekkan.
Raju Hill Strawberry Farm
Raju Hill Strawberry Farm adalah sebuah tarikan yang terletak hanya 3 km dari pekan Brinchang. Sepertimana Avant Chocolate, Raju Hill Strawberry Farm juga menawarkan 2 tarikan dalam satu tempat yang sama.
Tarikan yang pertama di sini adalah kebun strawberi yang mana anda dapat melihat pemandangan sekitar ladang dan juga tempat pemprosesannya. Kat sinilah anda patut beli buah strawberi banyak-banyak kerana harganya sangat murah.
Tarikan yang kedua pula adalah kafenya yang menghidangkan pelbagai jenis makanan seperti ais krim, waffles, kek, pastri dan banyak lagi!
Rose Valley
Sekiranya anda tercari-cari di mana agaknya lokasi yang best nak bergambar dekat Cameron Highlands ni, Rose Valley adalah salah satunya.
Betapa luasnya ladang bunga ros ini yang boleh anda terokai, sampaikan 2 jam pun tak cukup! Jangan terkejut kalau sebaik masuk sahaja ke dalam kawasan ladang, anda mungkin akan dikejutkan dengan kehadiran burung merak yang diletakkan dalam sangkarnya. Di sekitar taman yang indah ini juga, disediakan prop-prop yang menarik untuk anda jadikan tempat bergambar.
Selain bunga ros yang terdapat lebih daripada 450 jenis, anda juga boleh melawat kedainya yang menjual pelbagai jenis sayuran, bunga, buah-buahan.
Ladang Teh Boh
Apabila di sebut sahaja nama Cameron Highland pasti anda terbayang ladang teh hijau yang luas, ini kerana Cameron Highland memang dikenali oleh pengeluaran tehnya.
Boh merupakan pengeluar teh terbesar di Malaysia dan mereka memiliki 3 ladang teh terkenal di Cameron Highland yang terletak di kawasan Ringlet dan Brinchang.
Ladang teh yang terletak di sungai palas ini mempunyai keluasan 8 ribu ekar dan merupakan ladang teh yang terluas di Asia Tengara.
Di sini anda dapat melawat kilang teh sambil mempelajari sedikit tentang process membuat sebuah uncang Teh Boh. Anda juga boleh berehat sambil menghirup satu cawan teh Boh panas di kafe yang disediakan.
Jika anda hanya sempat melawati satu tempat sahaja semasa berada di Cameron Highland nanti, pastikan anda datang kesini kerana pemandanganya memang luar biasa.
Tamat sudah senarai tempat menarik di Cameron Highland dan saya harap ia dapat memudahkan anda merancang percutian ke sana nanti.
Comments
Post a Comment