Skip to main content

Tempat menarik di Johor

Pulau & Pantai Di Johor

Selain semakin terkenal dengan pasukan bola Harimau Selatan, Johor juga kini semakin terkenal di kalangan pelancong dengan tarikan pantai dan gugusan pulau yang cantik.

Pantai Desaru, Kota Tinggi


Pantai Desaru
Sumber: Findbulous

Pantai yang tidak asing di kalangan pelancong ini terkenal dengan pasir yang putih, di samping pemandangan menghadap Laut China Selatan. Terdapat pelbagai kemudahan resort di sepanjang pantai, Desaru merupakan kawasan tumpuan untuk keluarga bercuti. Berbagai-bagai aktiviti menarik boleh didapati di sini seperti snorkelingjet ski, dan parasailing.
Bagi peminat aktivtiti surfing, anda boleh berkunjung ke sini pada Disember hingga Februari di mana pada waktu itu ombak agak kuat dan sesuai untuk aktiviti peluncuran. Selain itu, anda boleh melihat kunang-kunang di Sungan Lebam pada waktu malam untuk melengkapkan percutian anda di sini.

Pantai Stulang Laut, Johor Bahru


Pantai Stulang Laut
Sumber: Zue Bob

Antara salah satu pantai yang terletak di bandaraya Johor Bahru, pantai ini menjadi tumpuan penduduk sekitar atas beberapa faktor. Antaranya ialah lokasinya yang berdekatan dengan Zon Bebas Cukai memudahkan pengunjung bersiar-siar setelah selesai membeli belah. Selain itu, terdapat Medan Selera Stulang yang meyediakan makanan laut yang sedap dan lazat.
Para pengunjung biasanya datang ke pantai ini pada waktu malam untuk menjamah hidangan seafood sambil melihat cahaya lampu yang datang dari Singapura sambil dibelai angin laut.
Makanan laut yang sedap, pemandangan cahaya lampu dari negara jiran yang indah, bayu laut yang dingin sambil ditemani deruan ombak, PantaI Stuang Laut menjanjikan pengalaman yang tidak mudah untuk anda lupakan sekiranya anda datang ke sini.

Teluk Mahkota, Kota Tinggi


Teluk Mahkota Kota Tinggi
Sumber: Tourism Johor

Pantai sepanjang 12km ini merupakan antara pantai yang sesuai jika anda mencari tempat rekreasi yang sunyi dan tidak sesak dengan orang ramai.
Pada mulanya dikenali sebagai Jason Bay, pantai ini masih tidak terkenal di kalangan pengujung dan menawarkan persekitaran yang bersih serta deruan angin Laut China Selatan yang menyamankan.
Anda boleh beristirehat bersama keluarga atau rakan-rakan anda di sini sambil berkhelah atau berbarbeku. Di sini juga terdapat sebuah resort jika anda mengambil keputusan untuk bermalam di sekitar pantai ini.

Danga Bay, Johor Bahru


Dangga Bay Johor
Sumber: ASEAN Skyline

Siapa lagi tidak kenal dengan tempat ini yang menjadi tumpuan penduduk Johor Bahru tidak kira siang atau malam. Kawasan perairan yang giat membangun ini menyediakan pelbagai tarikan seperti tempat rekreasi, aktiviti kebudayaan, dan taman permainan untuk kanak-kanak. Selain itu, terdapat banyak pilihan makanan di sini di mana anda boleh memilih daripada gerai tepi jalan hingga restoran mewah bertaraf lima bintang.
Terdapat juga Danga City Mall iaitu pusat membeli belah yang terletak berdekatan dengan kawasan ini.
Pemandangan indah dengan limpahan lampu pada waktu malam, pelbagai pilihan makanan, dan angin nyaman dari laut, Danga Bay sudah pasti menjadi salah satu tempat yang wajib dilawati jika anda datang ke Johor Bahru.

Pantai Air Papan, Mersing


Pantai Air Papan
Sumber: Wan Hasyidan

Antara pantai yang terkenal di Mersing, terdapat beberapa chalet dan homestay di sekitar pantai ini. Sesuai untuk percutian keluarga, persekitaran pantai yang bersih amat sesuai untuk anda mandi manda di sini. Selain itu, anda juga boleh melakukan aktiviti lain iaitu bermain layang-layang dan berkayak di sekitar pantai ini.
Kawasan ini tidak sesuai untuk dilawati pada musim tengkujuh kerana angin yang kuat dan ombak yang agak deras dan boleh membahayakan keselamatan anda.

Pantai Teluk Gorek


Pantai Teluk Gorek Johor
Sumber: Kevin Choong C K

Tak berpeluang untuk melawat pulau-pulau yang ditawarkan di sekitar perairan Johor kerana kesuntukan masa atau bajet, anda boleh menikmati keindahan persis di kawasan pulau sekiranya melawat Pantai Teluk Gorek.
Pantai yang membentangkan pemandangan sekitar Laut China Selatan dengan air jernih adalah lautan yang tidak sunyi dari pukulan ombak. Sambil mendengar bunyi ombak yang menyegarkan halwa telinga, anda turut dapat merasai kelembutan bayu laut yang sentiasa bertiupan.

Pulau Sibu, Mersing


Pulau Sibu
Sumber: Rimba Resort

Taman Laut Mersing yang dibuka pada tahun 1993 terdiri daripada 13 pulau yang mempunyai keunikan yang tersendiri. Antaranya ialah Pulau Sibu yang juga terdiri daripada Pulau Sibu Besar, Pulau Sibu Tengah, Pulau Sibu Kukus, dan Pulau Sibu Hujung. Gugusan pulau ini yang terkenal dengan keindahan terumbu karang merupakan kawasan tumpuan peminat aktiviti diving dan snorkeling.
Selain itu, anda boleh melakukan pelbagai aktiviti sukan air selain bersiar-siar di tepi pantai yang bersih dan cantik. Anda boleh menuju ke bahagian selatan pulau ini, terdapat sebuah kampung nelayan iaitu Kampung Duku sekiranya anda ingin lari dari suasana pantai (yang tidak akan anda jemu).
Terdapat pelbagai resort untuk anda pilih di Pulau Sibu terutamanya di bahagian barat pulau ini (resort pada bahagian ini tutup pada musim monsoon timur laut). Untuk ke Pulau Sibu, anda boleh menaiki feri dari Tanjung Leman, Mersing.

Pulau Rawa, Mersing


Pulau Rawa
Sumber: Viral Media Johor

Sebuah pulau kecil yang juga kian dikunjungi ramai pelancong ini terkenal kerana saiz pulaunya yang kecil membolehkan para pengunjung bersiar-siar mengelilingi Pulau Rawa dalam masa yang singkat.
Anda boleh melakukan pelbagai aktiviti di sini seperti menyelam dan luncur angin. Untuk kelainan, anda boleh mendaki bukit yang terdapat di pulau ini untuk melihat panorama cantik di sekelilingnya.

Pulau Tinggi, Mersing


Pulau Tinggi Mersing
Sumber: Travel Photography by Royden

Pulau seterusnya dalam senarai Taman Laut Mersing ialah Pulau Tinggi. Pulau yang terkenal di kalangan pelancong dengan pasir pantai yang memutih ini terletak 45 minit dari jeti Tanjung Leman.
Juga dikenali sebagai General Hat Island, pulau yang dahulunya merupakan kawasan tumpuan para nelayan kerana kawasan perairannya yang kaya dengan berbagai-bagai jenis hidupan laut, kini menjadi kawasan tumpuan penggemar aktiviti memancing.
Selain itu, terumbu karang yang cantik menjadikan pulau ini kawasan yang sangat sesuai untuk anda melakukan aktiviti snorkeling dan diving. Dan kepada yang inginkan sedikit pengembaraan yang mencabar, anda boleh merentas hutan selama 40 minit untuk sampai ke sebuah air terjun yang sangat cantik!

Pulau Pemanggil, Mersing


Pulau Pemanggil
Sumber: Visa and Passport Agency

Masih terletak di dalam Taman Laut Mersing, Pulau Pemanggil terkenal dengan kisah mistiknya yang tersendiri. Kisah mistik ini bagaimana pun menjadikan pulau ini kaya dengan terumbu karang yang masih terpelihara dan pelbagai jenis hidupan laut.
Walaupun terletak agak jauh daripada Mersing (perjalanan ke sini biasanya mengambil masa dari 4 sehingga 5 jam), pulau ini masih menjadi kawasan kegemaran pemancing terutamanya pada musim memancing.

Pulau Aur, Mersing


Aur Island Mersing
Sumber: Awesome Nature

Pulau yang mengambil masa selama 5-6 jam untuk sampai ke sini, menawarkan pengalaman yang berlainan kepada para peminat aktiviti snorkeling dan diving. Kawasan perairannya terdiri daripada terumbu karang yang cantik dan masih terpelihara.
Di samping itu, hidupan lautnya mampu memukau para penyelam. Hidupan laut eksotik seperti ikan barakuda, manta-ray, dan lain-lain menjanjikan pengalaman diving yang amat memuaskan kepada para penyelam.

Pulau Dayang, Mersing


Pulau Dayang
Sumber: Tourism Malaysia

Pulau ini yang terletak bersebelahan Pulau Aur juga menyajikan air laut yang jernih, di samping terumbu karang yang cantik. Pantai yang bersih dan pasirnya yang memutih menjadikan pulau ini tempat persinggahan para pengunjung.
Berehat di tepi pantai sambil dibelai angin Laut China Selatan setelah letih menyelam melihat terumbu karang yang cantik kedengaran seperti aktiviti yang anda tidak boleh lepaskan, tidak begitu?

Pulau Besar, Mersing


Pulau Besar Mersing
Sumber: Syok Pulau Mersing

Pulau ini terkenal dengan kisah silamnya yang amat unik. Dikatakan pada zaman dahulu terdapat seorang isteri nelayan di sini bertukar menjadi ikan duyung apabila dia memakan rumpai laut yang diberikan oleh suaminya.
Akibat perasaan cinta yang mendalam, suaminya turut mengikut sekali tindakan isterinya dan bertukar menjadi ikan duyung.
Penduduk tempatan mendakwa pasangan itu kadang-kadang boleh dilihat di sekitar pulau itu sehingga sekarang. Dengan mitos yang penuh romantis, selain air laut yang jernih dan terumbu karang yang cantik, tidak rugi rasanya untuk anda datang singgah ke Pulau Besar.

Pulau Tengah, Mersing


Pulau Tengah Mersing
Sumber: Batu Batu – Tengah Island

Masih di Taman Laut Mersing, Pulau Tengah amat terkenal dengan sebuah pusat peranginan yang dinamakan Batu Batu. Seni bina resort ini yang berasaskan rumah kampung Melayu amat sesuai bagi para ibu bapa membawa keluarga mereka untuk bercuti di sini sambil menikmati pemandangan laut yang indah.
Kawasan terumbu karang di pulau ini juga amat cantik untuk aktiviti snorkeling. Selain itu, anda boleh datang ke sini pada bulan Julai untuk menyaksikan penyu bertelur di tepi pantai.

Pulau Hujong, Mersing


Pulau Hujong Mersing
Sumber: Pulau Hujong

Pulau ini antara pulau terbesar di samping Pulau Aur dan Pulau Besar. Pulau yang tidak berpenghuni ini menawarkan pantai yang bersih dan cantik untuk anda beristirehat dan merehatkan minda anda.
Kebiasaanya, pengunjung akan melakukan daytrip ke pulau ini memandangkan ketiadaan perkhidmatan penginapan disediakan di pulau ini. Pengunjung boleh menginap di pulau berdekatan seperti Pulau Rawa dan Pulau Tengah.

Pulau Kukup, Pontian


Pulau Kukup
Sumber: Tourism Malaysia

Selain 13 pulau yang terletak di Mersing, Johor juga mempunyai pulau-pulau lain yang mempunyai keunikannya yang tersendiri. Antaranya ialah Pulau Kukup. Pulau yang terletak di kawasan barat daya Johor ini merupakan antara kawasan paya bakau yang terbesar di dunia.
Menempatkan pelbagai binatang liar seperti monyet, ikan belacak, dan babi hutan, pulau ini diisytiraf sebagai tapak RAMSAR pada tahun 2003.
Terdapat landasan untuk pengunjung bersiar-siar di sekitar pulau ini. Anda boleh datang ke pulau ini dengan bot yang terdapat di Jeti Kukup. Selain itu, Pulau Kukup juga berdekatan dengan Tanjung Piai, kawasan paling selatan bagi negara Malaysia.

Comments

Popular posts from this blog

Pulau pulau yang cantik di Terengganu sedia menanti

Terengganu bukan hanya terkenal dengan keropok lekor dan industri batiknya, tetapi juga pulau-pulau di sekitarnya yang memiliki keindahan yang mampu mempesonakan jiwa  sehingga terbawa-bawa ke mimpi. Pantai yang berpasir putih dan laut yang jernih, pulau-pulau ini menjadi destinasi impian ramai bukan sahaja rakyat Malaysia, malahan juga pelancong dari luar negara. Bagi penduduk di Semenanjung, tidak perlu terbang jauh ke  Sabah  untuk menikmati ketenangan pulau kerana pulau tropika yang terletak di perairan Terengganu juga sebenarnya adalah antara yang terbaik di Malaysia. Tak percaya? Teruskan membaca artikel 12 pulau di Terengganu ini untuk membantu anda membayangkannya. Pulau Redang Sumber:  The Taaras Beach & Spa Resort Trademark pelancongan di Terengganu, Pulau Redang adalah antara pulau yang paling banyak dilawati di negeri ini. Pantai yang berpasir putih dengan pemandangan air laut yang membiru, Pulau Redang sememangnya destinasi percutian yan...

Tempat Menarik Di Cameron Highland | Percutian Dingin & Nyaman

Jika anda jemu dengan cuaca panas dan kesesakan ibu kota, larilah sebentar ke Cameron Highlands, destinasi nyaman yang terkenal dengan udara sejuknya yang dingin dan pemandangan yang menakjubkan. Tambahan pula terdapat banyak tempat menarik di Cameron Highland, menjadikan ia destinasi sasaran popular pelancong tempatan dan antarabangsa. Jika anda sedang merancang percutian ke Cameron Highland, dibawah saya telah himpunkan tempat yang paling menarik untuk anda lawati semasa berada disini nanti. Ladang Teh BOH Sungai Palas Sumber:  Azami Adi Putera Hampir setiap hari menikmati teh BOH semasa di rumah, tapi masih tak tahu lagi bagaimana keadaan ladangnya? Dan teringin nak tahu bagaimana teh yang diminum setiap hari ini dihasilkan? Datanglah ke Ladang Teh BOH yang terletak di Sungai Palas ini. Aktiviti yang boleh dilakukan sepanjang berada di ladang teh ini di samping melihat bagaimana teh diproses di kilang adalah melawat kafenya untuk menikmati pelbagai hidangan yang ter...